Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

wan nur adaweeyah

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Selasa, 29 Mac 2011

PEMAKANAN

Panduan Pemakanan Ibu Mengandung Semasa mengandung, anda bukan sahaja perlu meningkatkan jumlah pemakanan anda, tetapi yang lebih penting ialah apa yang anda makan. Kebiasaannya, wanita mengandung memerlukan penambahan 300 kalori/hari daripada biasa terutamanya semasa trimester terakhir di mana bayi membesar dengan pantas. Penambahan 300 kalori sehari tersebut penting diperolehi daripada makanan yang berkhasiat supaya ia boleh menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan bayi. Mengapa pemakanan sihat penting semasa mengandung Pernahkah anda terfikir mengapa berat badan anda bertambah 10-15 kg (secara purata) semasa anda mengandung sedangkan berat bayi yang baru lahir hanya ¼ daripada itu? Walau pun ianya berbeza bagi setiap individu wanita yang mengandung, faktor-faktor di bawah menyumbang kepada pertambahan berat badan: Berat bayi : 2.5 – 3 kg Penyimpanan protein, lemak dan nutrien lain yang berlebihan : 2.75 – 3 kg Penambahan darah : 1.5 – 2 kg Penambahan cecair badan yang lain : 1.5 – 2kg Pembesaran payudara : 0.75 – 1 kg Pembesaran uterus (rahim) : 0.75 – 1 kg Cecair amniotik (air ketuban) : 0.75 – 1 kg Plasenta (uri) : 0.5 – 0.75 kg Selain daripada penambahan berat bayi, faktor-faktor lain juga penting untuk memastikan fisiologi ibu berubah mengikut keperluan ibu mengandung. Corak penambahan berat semasa mengandung bagi individu juga berbeza. Jika anda mula mengandung semasa berat badan berlebihan, berat anda mungkin akan turun sedikit pada awal trimester manakala penambahan akan berlaku bagi ibu yang kurus atau mengandung anak kembar. Makanan semasa mengandung Semasa mengandung, apa sahaja yang anda makan dan minum merupakan sumber utama nutrien bagi bayi anda. Pemakanan anda berkait rapat dengan kesihatan bayi sehinggakan kebanyakan doktor menasihatkan supaya tidak mengambil sebarang risiko dengan makan makanan yang berkemungkinan memudaratkan bayi seperti alkohol. Sama ada anda mengandung atau tidak, diet yang sihat merangkumi protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral dan air yang mencukupi. Jika anda mengamalkan pemakanan mengikut sistem piramid makanan, ini menunjukkan yang anda berpotensi untuk menjadi individu yang sihat. Penting bagi ibu mengandung untuk memvariasikan makanannya bagi memperoleh semua keperluan nutrisi ibu dan bayi. Makanan yang perlu dimakan semasa mengandung ialah: Buah-buahan dan sayur-sayuran – target untuk makan 5 hidangan sehari termasuk sebagai snek, jus dan salad. Makanan berkanji – roti, nasi, pasta, ubi kentang. Banyakkan bijirin penuh (wheat, whole grain) Makanan berprotein tinggi – Daging, ayam, ikan, telur, kekacang (soya). Banyakkan makan ikan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu. Makanan berkalsium tinggi – Susu, yoghurt, cheese. Makanan berserat tinggi – Jadikan sayur, buah, bijirin dan kekacang sebagai makanan kegemaran kerana ia boleh mengelakkan sembelit. Piramid Makanan Minum banyak air dan elakkan makanan berlemak dan bergula tinggi seperti kek dan coklat kerana ia mengakibatkan pertambahan berat badan berlebihan dan seterusnya meniggikan risiko mendapat kencing manis (gestational diabetes mellitus) Jika anda sukakan snek, ambil raisin, biskut bijirin penuh (Jacob’s atau IKO), salad buah, yoghurt atau sebarang makanan bernutrisi yang lain. Perkara yang perlu diambil berat semasa membeli makanan Makanan basah seperti ikan, ayam dan daging harus dibeli segar dan dijamin kebersihannya. Pastikan sayur-sayuran dan buah juga segar dan tidak mengandungi pestisid (kebiasaannya, sayur berlubang dimakan ulat atau serangga tiada pestisid). Bagi makanan yang dibungkus atau dalam tin, baca label makanan yang menunjukkan kandungan nutrisi dan kalori makanan tersebut. Terdapat juga label makanan yang memberikan cadangan hidangan yang bersesuaian bagi diet seharian. Apabila anda mengandung, cadangan hidangan bersesuaian juga sebenarnya bertambah seiring dengan keperluan untuk penambahan kalori. Periksa label makanan sebelum membelinya supaya makanan tersebut dapat dipastikan: HALAL kerana makanan akan menjadi darah daging anda dan bayi Berkhasiat untuk kesihatan anda dan bayi Perhatikan juga tarikh lupus (expiry date) makanan dan pastikan pembungkus / tin makanan dalam keadaan sempurna (tiada kebocoran, tercemar, kemek). Walau pun nampak remeh, tetapi ia sebenarnya penting kerana makanan yang tercemar atau sudah lupus tarikhnya boleh menyebabkan anda keracunan makanan sekaligus boleh memudaratkan kesihatan bayi anda. Bagaimana anda tahu yang pemakanan anda sihat semasa mengandung Kunci utamanya ialah dengan mempelbagaikan pengambilan makanan dalam kumpulan yang berbeza-beza (seperti yang dicadangkan di atas) dengan jumlah yang mencukupi. Jangan risau jika anda mengalami alahan yang teruk dan tiada selera makan pada trimester pertama. Keadaan ini tidak akan memberikan impak yang besar kepada bayi anda kerana bayi akan mendapat nutrisi terdahulu daripada anda sebaik sahaja anda makan. Bagi yang mengalami alahan yang mencapai trimester kedua sehingga bersalin, pastikan anda tetap makan makanan berkhasiat- biar sedikit tetapi kerap. Walau pun penambahan berat badan ideal semasa mengandung yang dicadangkan ialah 10-15 kg (kebiasaannya 1.5 – 2.5 kg pada trimester pertama dan 0.25 – 0.5 kg / minggu pada trimester ke -2 dan 3), jangan hadkan diri anda. Sebaliknya, fokus pada pemakanan yang sihat dan seimbang untuk memastikan anda dan bayi sihat.

Khamis, 24 Mac 2011

Kehadiran yang dinantikan.....

Bilakah pertama kali saya merasakan pergerakan bayi saya?
Sensasi pergerakan lemah lembut bayi yang dirasai pada peringkat awal kehamilan merupakan satu saat yang amat penting bagi anda. Dan apabila pergerakan lemah ini berubah menjadi tendangan-tendangan kuat, anda akan pasti bahawa kehamilan anda berkembang dengan sempurna. Jika anda sedang hamil buat kali pertama, anda mungkin tidak akan menyedari bila masanya bayi anda mula bergerak, sebab anda belum pernah mengalami sensasi pergerakan tersebut – sebenarnya, ramai wanita menyatakan bahawa pergerakan awal itu menyerupai denyutan yang lembut dan halus. Bagi kehamilan pertama, anda mungkin mula menyedari pergerakan ini antara minggu ke-18 dan minggu ke-20. Bagi kehamilan seterusnya, di mana anda sudah dapat mengenali petanda tertentu, pergerakan ini akan disedari lebih awal lagi, iaitu antara minggu ke-15 dan minggu ke-18.

Apakah yang bayi buat di dalam itu?
Sebaik saja pergerakan awal dirasai, yang dikatakan seakan-akan kupu-kupu mengibaskan sayap, anda akan mula sedar bahawa sensasi tersebut menjadi lebih kuat dan berlaku dengan lebih kerap. Semasa bayi anda sedang membesar, sensasi ini akan berubah dari semasa ke semasa sehinggakan anda mengalami tendangan dan pukulan yang semakin hebat apabila kehamilan anda semakin maju dan matang. Bayi anda tidak akan menendang dan bergerak sepanjang masa sebab, seperti kita juga, ada masa-masanya ia hanya mahu berehat dan tidur walaupun untuk 40 minit sahaja setiap kali. Tetapi, anda merasakan bahawa tempoh rehat bayi itu lebih panjang dari itu sebab anda tidak dapat merasa dan mengesan setiap pergerakan. Untuk makluman anda, berikut diberikan sedikit panduan tentang apa yang akan berlaku kepada bayi anda semasa ia sedang membesar dalam kandungan.

Dari minggu ke-20 hingga ke-24
Aktiviti bayi anda akan bertambah perlahan-lahan dari minggu ke minggu. Pada minggu ke-20, dan selama 10 minggu berikutnya, bayi anda akan melalui perkembangan yang amat giat di mana ia akan banyak menendang dan berpusing-pusing.

Dari minggu ke-24 hingga ke-28
Bayi anda akan mula tersedu, dan inilah sebabnya anda kadang-kala mengalami pergerakan tersentak-sentak. Sak amnion (ketuban) anda pada masa ini mengandungi cecair sebanyak 750 ml (26 fl oz) yang membolehkan bayi bergerak secara bebas. Walaupun bayi telah lama dapat mendengar bunyi, baru sekarang anda mendapati bahawa bayi tersentak apabila mendengar bunyi-bunyian yang mengejutkan.

Pada minggu ke-29
Bayi anda akan mula membuat pergerakan jarak kecil yang lebih mantap, disebabkan ia sekarang dalam keadaan agak terhimpit dalam rahim anda.

Pada minggu ke-32
Pergerakan bayi anda berkemuncak pada masa ini, dan pada minggu-minggu berikut anda akan mendapati bahawa kekerapan serta jenis pergerakan semakin bertambah disebabkan bayi anda terus membesar dan menjadi lebih kuat.

Dalam lingkungan minggu ke-36
Pada masa ini, bayi anda akan menetapkan posisinya dengan meletakkan kepala ke bawah. Ini berlaku terutama sekali bagi kehamilan pertama sebab otot-otot abdomen dan rahim anda masih kuat dan dapat mengekalkan kedudukan tersebut. Pergerakan utama yang anda akan rasakan adalah pukulan tangan dan kaki bayi anda, dan bayi juga akan membuat tendangan kuat dan perit terhadap tulang rusuk anda. Sekiranya kehamilan ini bukan yang pertama, otot abdomen anda tidak begitu kuat lagi dan oleh itu bayi anda akan sering mengubah posisinya sehingga tiba tarikh kelahiran yang dijangkakan. Baca lebih lanjut mengenai bagaimana tahu bila sudah tiba masa bersalin.

Dari minggu ke-36 hingga ke-40
Badan bayi mula menjadi lebih besar dan pergerakan memusing akan berkurangan. Sekiranya bayi itu menghisap jarinya dan sekiranya terlucut jari itu, anda akan merasakan pergerakan yang pantas dan perit disebabkan pergerakan kepala bayi dari kiri ke kanan dalam usahanya mencari dan mendapatkan jarinya kembali. Dalam tempoh dua minggu sebelum kelahiran bayi, pergerakannya semakin kurang dan kadar pembesaran bayi juga akan menurun sedikit. Ini semua adalah perkara biasa dan anda tidak perlu bimbang.

Pergerakan dan posisi di peringkat akhir kehamilan
Pada minggu-minggu terakhir, bayi anda akan menetap dalam mangkuk pelvis anda, dan bersiap sedia untuk dilahirkan. (Sekiranya ini tidak berlaku, nasihat lanjut boleh diperolehi dari kami tentang bagaimana meletakkan bayi anda dalam posisi optimum untuk kelahiran). Kepala bayi anda terasa seakan-akan sebiji tembikai yang menekan kepada lantai pelvis dan membuatkan anda agak berhati-hati semasa hendak duduk. Apabila kepala bayi menurun lagi ke dalam pelvis anda, anda akan terasa "ringan", disebabkan tekanan yang dahulunya berlaku di bawah tulang rusuk anda tidak begitu kuat lagi. Pada peringkat ini, anda tidak akan mengalami pergerakan yang dibuat oleh keseluruh badan bayi. Di sebaliknya, anda mungkin mengalami tendangan yang tidak berhenti-henti di bawah tulang rusuk samada di sebelah kiri atau kanan, yang dipengaruhi oleh posisi bayi tersebut. Jika kulit abdomen anda nipis, anda mungkin berpeluang memegang kaki bayi anda. Ada masa-masanya bayi anda akan diam berehat dan ada masa-masanya anda akan mengalami aktiviti bayi yang berlebihan, lazimnya pada lewat petang atau malam atau semasa anda sedang baring dan hendak tidur!

Berapakah tendangan yang patut saya rasakan dalam satu hari?
Semasa anda sedang sibuk, anda mungkin kurang menyedari pergerakan bayi anda. Anda akan lebih menyedari pergerakan ini semasa anda sedang duduk berehat. Kajian aktiviti fetus menunjukkan bahawa pergerakan bayi semasa dalam rahim menunjukkan pola berjaga dan tidur yang berlainan – tiada jumlah tendangan yang boleh dianggarkan secara purata – namun begitu, setelah sampai ke peringkat akhir dalam kehamilan, anda mungkin sudah mengetahui dan boleh menentukan pola pergerakan bayi anda.

Saya tidak terasa gerakan bayi saya hari ini; patutkan saya bimbang?
Jika anda sibuk melakukan sesuatu, anda mungkin tidak menyedari pergerakan bayi anda. Sekiranya anda mahukan ketenangan fikiran, ada beberapa cara untuk merangsang bayi supaya bergerak: • Baring secara mengiring (dengan mengampu punggung) dan jangan bergerak. • Angkat kaki ke atas dan relaks. • Halakan bunyi musik ke perut anda. Tidak lama dahulu, wanita dinasihatkan supaya mengesan pergerakan bayi dengan menggunakan carta tendangan fetus. Anda perlu merekod berapa kali pergerakan bayi berlaku sehingga anda mendapat jumlah 10 tendangan, seelok-eloknya pada masa yang sama setiap hari. Walau bagaimanapun, carta seperti ini telah menjadi kurang popular disebabkan penyimpanan rekod sedemikian mudah dilupai, dan juga didapati sukar untuk memadan dan mengimbangkan pola tendangan tersebut. Ini telah menyebabkan kebimbangan di kalangan wanita berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku. Sebaliknya, fahamilah pola gerakan bayi anda dalam waktu anda berjaga dan sekiranya terdapat sebarang perubahan dalam pola tersebut, hubungilah doktor anda dengan segera.

Selasa, 8 Mac 2011